Friday, April 27, 2012

Pembenihan ikan tilapia

  Teknik pembenihan ikan tilapia terbahagi kepada dua cara iaitu secara semula jadi di dalam kolam dan secara tiruan iaitu dengan cara mengutip telur dari mulut ikan dan ditetaskan di dalam balang penetasan.  Kaedah pertama adalah mudah dan murah tetapi jumlah penetasan akan berkurang untuk jangka masa panjang.  Ia memerlukan kolam yang banyak untuk mengasuh sehingga saiz ternakan. Kaedah yang kedua memerlukan modal yang agak besar, terurus dan jumlah penetasan boleh dijangka.

Kaedah pertama
         Sediakan kolam yang sihat dan masukkan induk jantan dan betina di dalam kolam tersebut, beri makan seperti biasa, dan pada kebiasaannya selepas dua minggu akan terdapat rega yang bermain di pinggir kolam pada waktu pagi.  Sauk rega ini sebagai anak benih.  Rega ini kerap berada di pinggir kolam pada waktu pagi kerana kekurangan oksigen dan ibunya akan melepaskannya di pinggir kolam untuk mendapatkan oksigen.  Ia juga boleh diperolehi pada sumber air masuk kerana resapan oksigen di situ adalah tinggi.  Walaupun kaedah ini mudah jangan lupa paras air jangan melepasi outlet kerana anak benih mudah keluar melalui outlet kolam.

kaedah kedua
   Melalui kaedah ini pengusaha perlu menguasai teknik mengenal pasti jantina ikan tilapia.  Walaupun begitu jika terdapat kesilapan, masih penghasilan benih tilapia akan diperolehi kerana ia dibiak dalam kumpulan.

    Induk dimasukkan ke dalam hapa bersaiz 1.5 x 5 x 1 m3 untuk membiak.  Induk betina yang dipilih mestilah sudah mencapai peringkat matang bersaiz 200g hingga 250 g keran apada peringkat ini induk aktif membiak.  Induk yang hendak dibiak di dalam hapa mestilah sudah hampir melepaskan telur.  Keadaan ini dapat dilihat pada abdomen induk betina yang kembung dan merah pada bahagian liang pembiakan.  Selepas satu minggu telur ikan dikutip dari mulut ikan tilapia betina. 
   Mengutip telur ikan boleh menggunakan sauk yang bermata halus atau terus ke dalam besen atau baldi.  Kemudian telur dibersihkan dari kekotoran terutamanya sisik ikan dan telur yang tidak disenyawakan.  Langkah pembersihan ini perlu pantas untuk mengelakkan telur atau benih belum matang menjadi rosak.  Benih ikan yang hampir lengkap formasinya perlu di utamakan kerana pada peringkat ini organ-organ dalaman ikan telah terbentuk dan memerlukan oksigen.  Langkah ini juga perlu kecekapan supaya telur atau benih belum matang tidak tercedera.  Kecederaan telur akan menyebabkan kegagalan dalam proses formasi ikan.
    Penggredan telur ikan perlu dilakukan untuk menjangka waktu formasi lengkap kepada benih ikan tilapia.  Percampuran peringkat benih ikan akan menyukarkan proses pengutipan benih yang telah lengkap. 
  Telur-telur yang telah di gred dimasukkan ke dalam balang penetasan pada bilangan dua ribu biji telur setiap balang.  Penghadan bilangan telur ini untuk mengelakkan balang penetasan terlalu sesak. 

 












 Fungsi balang penetasan ini ialah untuk meniru fungsi rongga mulut ikan tilapia di mana air sentiasa mengalir satu hala.  Dalam balang ini air berputar pada kadar kelajuan yang hampir sama seperti dalam rongga mulut ikan tilapia.  Kadar kelajuan air masuk ke dalam balang ialah seliter setiap seminit.  Kelajuan air yang terlalu perlahan akan menyebabkan telur ikan tidak bergerak dan formasi ikan tidak sempurna terutama pembentukan sirip ekor awal.  Anak ikan tidak akan dapat berenang dengan sempurna dan akan menyebabkan kematian akibat kelaparan.  Air yang terlalu deras pula akan mencederakan telur mahupun anak ikan.  Pada fasa telur ikan, ekor tidak terbentuk lagi.  Telur ikan akan dibawa bersama arus air yang masuk dan turun kembali ke dasar balang oleh tarikan graviti.  Manakala pada fasa telur yang sudah menetas ekor ikan telah terbentuk dan anak ikan akan berenang melawan arah arus.  Pada peringkat ini penggunaan tenaga yang banyak untuk berenang diperolehi dari yolka telur.  Apabila yolka sudah habis diserap menunjukkan formasi anak ikan sudah lengkap.  Anak ikan boleh dipindah ke hapa asuhan dan mula diberi makanan pelet kisar.
  Pengasingan telur ikan pada setiap fasa adalah penting untuk memudahkan pemindahan anak ikan ke hapa asuhan.  Ini kerana balang penetasan hanya boleh digunakan sekali sahaja untuk setiap penetasan.  Kemudian ia harus dibersihkan.  Telur ikan dibahagi kepada empat fasa; pertama ialah fasa persenyawaan, yang kedua fasa pembentukan awal mata dan kepala, ketiga ialah fasa penghasilan pigmen warna dan yang keempat ialah fasa pembentukan awal ekor dan organ pektoral.  




 Manakala telur yang telas menetas terbahagi kepada tiga fasa; pertama ialah fasa penghasilan lengkap ekor, pembentukan awal sirip dorsal, ventral dan tulang kordat yang lurus, kedua pembentukan pundi apungan, ketiga pembentukan mata dan keseluruhan anak ikan yang lengkap.
    Mengasuh benih ikan tilapia dalam hapa asuhan perlu pada bilangan yang optimum.  Jika kepadatan terlalu tinggi ia akan merencatkan tumbesaran ikan.  Kepadatan rega ialah 100 ekor bagi setiap 1 m2.  Dalam kepadatan ini, anak ikan boleh mencapai saiz ternakan dalam sangkar dalam tempoh tiga bulan.  Tetapi bagi tujuan ternakan kolam dan penggunaan hapa bersaiz yang lebih besar lima ratus ekor benih ikan boleh diasuh pada setiap 1 m2 ini.








Don't hesitate to contact me if you have problems with your tilapia: noart25@yahoo.com