Thursday, March 3, 2011

Pengurusan

Asas
Perkara yang paling penting dalam suatu sistem dan dalam konteks ini keusahawanan ternakan tilapia ialah pengurusan.  Kecekapan setiap usahawan akan merealisasikan impian usahawan tersebut maka dengan itu, belajarlah walau asas dalam pengurusan berkesan.  Belajar dari mereka yang sudah lama berkecimpung dalam apajua bidang pengurusan dapat membantu sebenarnya.  Cuma penyerapan kepada bidang ternakan tilapia perlu diolah dengan baik dengan mengambil perkara-perkara penting sebagai asas dan selainnya sebagai bantuan sekiranya operasi menemui jalan buntu.

Pengurus operasi
Beliau mesti seorang yang tahu membuat analisa kuantitatif bagi menyelesaikan masalah yang telah, sedang dan akan timbul.  Apabila ikan mati dengan banyak di kolam maka apakah tindakan beliau? dengan ilmu yang ada seharusnya beliau tahu ikan akan mati jika keracunan atau tiada bekalan oksigen yang mencukupi.  Apakah racun yang terbabit atau bagaimanakah oksigen boleh tiada di dalam kolam?  Semua persoalan ini perlu sentiasa berlegar di dalam fikiran pengurus.  Satu masalah yang pernah saya alami sewaktu bertugas di Ajil.  Serangan memerang.  Musuh utama pengusaha ternakan ikan ini sememangnya meresahkan pengusaha ikan.  Kos yang tinggi juga diperlukan untuk mengatasinya.  Pengusaha perlu memilih samada biarkan sahaja memerang tersebut menangkap seekor dua ikan atau membuat pagar yang bernilai ratusan ribu ringgit.  Bagi ternakan tilapia sahaja mungkin ia masih berbaloi, tetapi jika pengusaha ialah pembiak tilapia maka ia akan mendatangkan masalah yang besar jika induk yang digunakan lenyap berpuluh-puluh malah beratus ekor hanya pada satu malam.  Bilangan memerang ini akan berganda jika tiada tindakan penyelesaian dilakukan.
Pengurus juga perlu cekap dalam sistem maklumat untuk memberikan maklumat terbaik kepada pengusaha.  Dengan ini sistem yang dilaksanakan dalam ternakan ini dapat berjalan dengan baik.  Bilangan anak ikan yang diperlukan dinyatakan dengan betul, keperluan makanan ikan juga dinyatakan dengan betul dan yang penting sekali hasil yang bakal diperolehi dinyatakan dengan betul.  Walaupun begitu sebagai pengusaha perlu tahu bahawa bilangan ikan tidak semuanya tepat kerana ia di luar kawalan dan kuasa manusia.  Ia adalah hak Allah semata-mata tetapi tidak juga ia menjadi alasan hasil ternakan itu menjadi sedikit.  Penjelasan dari pengurus perlu diterima dan diperbaiki sekiranya terdapat penyelesaian yang lebih baik. 
Pengurus perlu tahu keperluan tugas dan serahan tugas kepada pekerja.  Maka pelaksanaan kerja menjadi lebih terurus.  Bentuk organisasi perlu jelas bagi menghadkan tugas-tugas tertentu kepada pekerja yang tertentu.  Biasanya dalam suatu organisasi mesti ada kepincangan pada peringkat awal, jangan panik, lakukan pengstrukturan semula dan letakkan tenaga kerja pada tempatnya maka ia akan menjadi lebih baik.  Pekerja biasanya terbahagi kepada beberapa jenis; 1) bekerja untuk gaji, 2) diberi gaji untuk bekerja, 3) bekerja kerana minat dan 4) bekerja bertujuan menunjuk-nunjuk.  Semua ciri di atas terdapat pada semua pekerja cuma pada peratusan yang berbeza.  Utamakan ciri yang ketiga dengan memerhati setiap tingkah laku tugasan yang diberikan tanpa diketahui oleh pekerja.  Sila pastikan setiap pekerja telah di ajar dahulu sebelum tindakan tersebut diambil kerana walaupun tugasan menjaga ikan nampak mudah tetapi tugasan sampingannya sangat banyak dan perlukan perincian.

Pekerja 
Kesinambungan dari maklumat di atas, pekerja perlu akan gaji mereka samada setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan.  Pengusaha yang bijak akan sentiasa menjaga pekerja-pekerja yang terlatih dan tidak mencari pekerja baru akibat pembuangan pekerja.  Pekerja yang terlatih akan memudahkan kerja pengusaha, pengurus serta penyelia dengan berganda dan bukan meletakkan beban kepada pengurus untuk melatih pekerja baru.  Pembuangan pekerja yang kerap akan membantutkan perkembangan dan meningkatkan tekanan kerja semua yang terlibat dengan perniagaan ini.  
Pekerja juga perlu dipilih dari golongan yang mahu belajar dan proaktif.  Pekerja yang sebegini dapat membantu menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pekerja lain dan bertindak sebagai mentor kepada mereka.  Dan jika pekerja lain tidak dapat atau tidak sehaluan dengan pekerja lain dan kehendak syarikat maka barulah mereka disisihkan dari syarikat.
Penugasan perlu mengikut kemampuan pekerja, tidak semua pekerja sama.  Fizikal yang besar tidak semestinya mampu membuat kerja-kerja yang berat dan fizikal yang cergas tidak semestinya mampu bekerja dalam situasi yang perlu berindak pantas.  Ilmu dan terlatih dapat membantu dalam setiap situasi atau masalah yang timbul.  

Aset
Barang-barang perlu dijaga dengan baik atau ia akan menjadi bahan buangan sebelum waktunya.  Contohnya hapa boleh digunakan selama setahun sebelum diganti baru, tetapi jika ia tidak dicuci dan disimpan dengan baik ia akan lebih cepat reput.  Satu lagi contoh kegunaan pelalian perlu hanya sedikit sahaja untuk setiap sesi tetapi jika ia berada di bawah pancaran matahari dan haba yang tinggi maka ia menjadi kurang berkesan dan akibatnya memerlukan kuantiti yang banyak bagi setiap penggunaan.  Setiap aset ini perlu dijaga oleh pekerja yang mempunyai ilmu dan terlatih bagi menjana pendapatan dan jika tidak ia akan menjadi bahan buangan dan merugikan syarikat.

Data
Bilangan anak ikan yang dimasukkan ke dalam kolam, bilangan beg makanan yang diperlukan bermula dari pembelian hingga keluar dari stor, keperluan makanan ikan dan hasil yang diperolehi dari setiap kolam.  Perkara tersebut perlu ada dan jelas dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini pengusaha perlu lebih memahami masalah yang ada dan jangan beban masalah ditanggung oleh pengurus berseorangan atau pengurus itu tidak akan kekal lama di jawatannya itu.  

Nombor perhubungan
Nombor penjual roti?  nampak seperti lucu, tetapi sebenarnya tidak.  Penjual roti akan melupuskan roti yang tidak terjual dan sebagai penternak tilapia kita perlu tahu roti adalah sumber karbohidrat manakala ikan baja selepas tuaian atau dari pengkalan penurunan ikan adalah sumber protein yang murah.  Jika diproses semula ia  akan menambah sumber pendapatan.  Gunakan sumber yang ada, senaraikan nombor telefon setiap individu yang mungkin dan bakal membantu mempertingkatkan pendapatan.  Nombor-nombor yang penting seperti sumber kewangan, pembekal-pembekal, pembeli-pembeli, pekerja-pekerja, dll.  Sentiasa berhubung antara satu sama lain walaupun semasa hari kebesaran masing-masing dapat membantu mengeratkan hubungan dan memberi kemudahan pada masa sedia ada dan masa hadapan.

Bahagian pengurusan adalah tunjang kepada sesuatu syarikat atau kepada usahawan. Pengurusan yang teruk akan menjatuhkan syarikat dan tidak sepatutnya terjadi.  Pemilihan yang cermat akan membantu samada menjadi rakan dan sebaiknya menjadi rakan "master mind" untuk meningkatkan dan memajukan usaha dalam syarikat.

No comments:

Post a Comment